DEFINISI TAKAFUL

TAKAFUL adalah satu perkataan yang berasal dari perkataan Arab ‘Al-Kafala (jamin) iaitu bermaksud ‘Saling Jamin Menjamin‘.

Dari segi tafsiran Syara’ ia adalah pakatan satu kumpulan untuk saling jamin menjamin dan bantu membantu antara satu sama lain ketika para peserta kumpulan tersebut ditimpa sesuatu musibah.
Takaful juga berasaskan prinsip-prinsip berkongsi tanggungjawab, bekerjasama dan saling membantu untuk menjaga kepentingan bersama. Setiap peserta menyumbang berasaskan tabarru’ (derma) kepada dana yang akan digunakan untuk membantu satu sama lain pada masa yang diperlukan.
CIRI – CIRI TAKAFUL
1. Sistem Islam
2. Sumbangan At-Tabarru’at
3. Pelaburan halal
4. Majlis Pengawasan Syariah
5. Tiada unsur riba
6. Tiada unsur maisir (Judi)
7. Tiada unsur gharar (Tidak jelas)
8. Al-mudharabah (Perkongsian untung)
Sistem Islam
Konsep insurans iaitu ‘Golongan ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik” merupakan satu konsep yang diiktiraf oleh Islam .
Al-Quran dalam surah Al-Maidah ayat 2 bermaksud “Dan hendaklah kamu tolong menolong diatas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong diatas perkara dosa dan permusuhan” merupakan bukti utama betapa sikap bantu membantu merupakan salah satu akhlak mahmudah (terpuji).
Sumbangan At-Tabarru’at
Tabarru’at merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks operasi Takaful setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang iklas ketika menyumbang (At-tabarru’at) bagi membantu sesama para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata lain yang lebih tepat, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka ketika ditimpa kemalangan.
Dalam industri Takaful, At-tabarru’at yang diperkenalkan ialah Al-tabarru’at yang bersyarat. Bersyarat adalah dimana setiap peserta yang ingin menyertai Takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Syarikat terpaksa menetapkan kadar Tabarru’at kerana ingin memastikan Tabarru’at yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak, justeru itu jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru’at yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut.
Pelaburan Halal
Wang peserta akan dilaburkan hanya dilaburkan di kaunter-kaunter pelaburan yang halal dan diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah.
Bentuk pelaburan;
1. Bon Kerajaan (Al-Qardul Hassan).
2. Akaun simpanan di bank (Al-Mudharabah).
3. Projek pelaburan (Al-Bai Bithaman Ajil).
4. Harta bangunan.
5. Pembiayaan perumahan.
6. Sekuriti saham (Senarai kaunter yang diluluskan oleh Syariah).
Majlis Pengawasan Syariah
Akta Takaful 1984, seksyen 8 (5)(b):-
“Bahawa terdapatnya dalam artikel persatuan pengendali Takaful yang berkenaan peruntukan bagi penubuhan Majlis Pengawasan Syariah untuk menasihati pengendalian tentang perniagaan Takafulnya untuk memastikan yang ia tidak terlibat dalam apa-apa unsur yang tidak diluluskan”
Tiada Unsur Riba
Elemen RIBA wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan kebanyakanya dilaburkan didalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang beurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional
Unsur RIBA juga terdapat dalam urusniaga PINJAMAN DARI POLISI (Policy Loan) yang ditawarkan kepada peserta dalam produk insuran hayat dalam sistem kemudahan pinjaman ini, syarikat insuran akan mengenakan bayaran faedah (Interest) kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa faedah tersebut merupakan RIBA yang dilarang Islam.
Tiada Unsur Maisir (Judi)
Para ulama’ menyatakan Maisir dan Gharar merupakan kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antaranya adalah terlalu rapat dan saling berkait.
Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud apabila:
1. Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
2. Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungani (the insured event) tidak berlaku.
3. Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.
Tiada Unsur Gharar (Tidak Jelas)
Maksud Gharar ialah “Ketidakpastian”. Ketidakpastian dalam transaksi muamalah ialah :
“Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain”.
Di dalam kontrak insurans terdapat unsur ketidakpastian iaitu:
1. Tidak dapat dipastikan samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan
2. Tidak diketahui kadar bayarannya
3. Tidak diketahui bila masanya
Al-Mudaharabah (Perkongsian Untung)
1. Mudharabah bererti perkongsian untung diantara peserta dan syarikat.
2. Nisbah ditentukan tetapi nilai tidak dapat ditentukan
3. Nisbah pembahagian untung bergantung kepada aqad yang telah dibuat

KONSEP TAKAFUL
TAKAFUL merupakan satu konsep insurans berlandaskan Muamalat Islam yang menepati Syariah. Takaful berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘saling menjamin’ atau joint guarantee. Ia boleh digambarkan sebagai satu perjanjian antara sekumpulan peserta yang bersetuju untuk saling menjamin mana-mana ahli dalam kumpulan itu yang ditimpa kerugian tertentu.
Konsep takaful ini sudah pun wujud pada asasnya sejak sebelum zaman Islam lagi. Pada masa itu, ia dikenali sebagai sistem ‘aqila’ (tanggungjawab bersama) yang dipelopori oleh kaum-kaum Arab pada waktu itu.
Takaful yang dikenali sekarang beroperasi sebagai satu jenis perniagaan (tijari), dan ia berlandaskan prinsip Syariah, iaitu tiada unsur riba, perjudian atau ketidakpastian dalam kontrak dan pengendalian perniagaan takaful itu.
Dalam kontrak takaful, peserta bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman mereka untuk membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan/kerugian tertentu (ini di kenali sebagai tabarru’). Ia merangkumi unsur perkongsian tanggungjawab, saling menjamin dan melindung sesama mereka. Ini merupakan teras kepada sistem takaful yang menjadikan unsur ketidaktentuan dibenarkan dalam kontrak takaful.
Secara prinsipnya, sistem Takaful adalah diasaskan atas semangat saling bekerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling bantuan membantu di antara kumpulan-kumpulan peserta.
ASAS KERJASAMA
Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa (al-Birr dan al-Taqwa) dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah Al-Maidah, Ayat 2)
ASAS TANGGUNGJAWAB
Perbandingan hubungan dan perasaan antara Mukmin umpama sebuah badan; apabila salah satu daripada bahagian merasa sakit, akan terasa seluruh badan.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
ASAS PERLINDUNGAN BERSAMA
Demi diriku, yang di dalam kekuasan ALLAH, tiada siapa yang akan masuk Syurga jika ia tidak melindungi jirannya yang di dalam kesusahan.
(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)
Berdasarkan dalil-dalil di atas, para sarjana Islam telah membuat keputusan bahawa perlunya ada usaha yang bersepadu untuk melaksanakan konsep Takaful sebagai kaedah yang terbaik untuk menghuraikan keperluan ini.
UNDANG-UNDANG TAKAFUL
Industri Takaful di Malaysia tertakluk di bawah Akta Takaful 1984, dan diselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Para Pengendali Takaful perlu mematuhi Syariah, syarat-syarat Berkanun dan Kawal Selia yang ketat.

No comments:

Post a Comment